2025-06-03
HaiPress
Foto Facebook Presiden Republik Guinea-Bissau,Umaro Sissoco Embalo
PUTRAJAYA,3 Jun – Presiden Republik Guinea-Bissau,Umaro Sissoco Embalo,mengadakan lawatan selama tiga hari ke Malaysia bermula Selasa bagi memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Ini merupakan lawatan pertama Embalo ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan Presiden pada Februari 2020.
“Presiden Embalo akan diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra,Putrajaya,diikuti dengan pertemuan bersama Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perbincangan akan tertumpu kepada pengukuhan hubungan dua hala,khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan,pertanian,pendidikan serta pembangunan kapasiti. Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama,” menurut kenyataan Wisma Putra pada Selasa.
Datuk Seri Anwar turut akan menjadi hos bagi majlis jamuan rasmi di Kompleks Seri Perdana,sebagai penghormatan kepada Embalo dan delegasinya.
Presiden Embalo diiringi Menteri Perancangan Ekonomi dan Integrasi Serantau serta pegawai kanan dari Pejabat Presiden.
Malaysia dan Guinea-Bissau menjalin hubungan diplomatik pada November 1974.
Hubungan dua hala antara kedua-dua negara kekal mesra,berteraskan komitmen bersama untuk bekerjasama di peringkat dua hala dan pelbagai hala,termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).
Pada tahun 2024,jumlah dagangan Malaysia dengan Guinea-Bissau mencecah RM4.1 juta,dengan eksport Malaysia bernilai RM4.04 juta manakala import berjumlah RM0.06 juta.