2025-04-10
HaiPress
FOTO Markas Divisyen Kedua Infantri
TANAH MERAH,9 April- Empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di tebing Sungai Golok,Tanah Merah,Kelantan semalam.
Menurut kenyataan rasmi Markas Divisyen Kedua Infantri,kesemua PATI yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 73 tahun,ditahan di kawasan Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri (KTJ 8 Bgd).
"Pada pukul 10.30 malam,pasukan operasi yang sedang melakukan rondaan di kawasan tersebut telah mengesan sekumpulan individu yang mencurigakan sedang berjalan kaki di tebing sungai berdekatan hutan di Malaysia.
"Suspek cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan beroperasi,namun mereka berjaya ditahan.
"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu terbabit adalah PATI yang telah menetap di negara ini tanpa dokumen sah antara lima hingga sembilan tahun.
"Mereka mengaku menggunakan khidmat tekong warga Thailand untuk kembali ke Myanmar dengan bayaran tertentu," menurut kenyataan tersebut.
Turut ditemui bersama suspek adalah wang tunai dan barangan peribadi bernilai lebih RM16,000.
Kesemua PATI telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
TDM juga menegaskan bahawa kawalan di sempadan negara akan terus diperketatkan bagi membendung aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan PATI.