2024-12-27 IDOPRESS
Datuk Ramesh Kodammal
KUALA LUMPUR,25 Disember- Blok ASEAN perlu bersatu dan memperkukuh jalinan kerjasama serta mengeratkan hubungan dengan rakan dialog sebagai persediaan menghadapi cabaran geopolitik dan perubahan iklim ekonomi global.
Pengasas Majlis Perniagaan Asean-India (AIBC),Datuk Ramesh Kodammal berkata,ASEAN perlu menggalakkan lebih banyak dasar terbuka yang akan meningkatkan nilai perdagangan blok itu.
Perkara berkenaan selaras dengan agenda integrasi ekonomi ASEAN dan aspirasi menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang tahun 2030.
"ASEAN perlu memberi tumpuan berhubung kerjasama secara kolektif dan bergerak ke hadapan. Pandangan perlu difokuskan kepada Asia ketika ini.
"Asia adalah enjin pertumbuhan abad ke-21 dan kita melihat India sebagai salah satu pemain penting pada masa hadapan," katanya kepada pemberita di sini.
Dalam pada itu beliau juga berpandangan Malaysia perlu memanfaatkan peranan sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam menyelesaikan isu-isu serantau.
Seterusnya,memastikan ASEAN kekal menjadi blok kompetitif dan mampu mendepani sebarang tantangan masa depan.