Rumah Agensi untuk bergabung Produk Teknologi tenaga baru ESports Berita global AI pintar Hiburan Kehidupan Perniagaan Fesyen Hotel Sukan Ibu bapa-anak Kesihatan Anak Kewangan Makanan Hartanah

Malaysia seru negara D-8 bekerjasama perkasa belia melalui AKEPT

2024-12-20 IDOPRESS

Foto FB Zambry Abd. Kadir

KUALA LUMPUR,19 Disember- Malaysia mengajak semua negara anggota Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) untuk Kerjasama Ekonomi agar bekerjasama melalui Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT),sebuah platform yang memfokuskan untuk memajukan pembangunan kepimpinan dan pembinaan kapasiti dalam kalangan ahli akademik muda,profesional,dan usahawan.

Berucap pada Sesi Ke-21 Mesyuarat Majlis Menteri D-8 di Kaherah,Mesir,pada Rabu,Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menekankan peranan penting institusi pengajian tinggi dalam membuka peluang dan mendorong pemerkasaan golongan belia.

“Akademi ini (AKEPT) berfungsi sebagai platform akademik untuk pengurusan kanan dan pertengahan bagi menggalakkan pembangunan kepimpinan dan kapasiti serta peningkatan kemahiran pengurusan dalam kalangan pemimpin pelajar akademik muda,dan usahawan.

Marilah kita menetapkan dasar pengajian tinggi yang tepat untuk mewujudkan jambatan pengetahuan dan peluang. Dengan ini,kita boleh bersama-sama mencipta program inovasi belia,” katanya.

Ditubuhkan pada Januari 2008 di bawah Kementerian Pengajian Tinggi,AKEPT bertujuan mendedahkan pengurusan kanan dan pertengahan institusi pengajian tinggi kepada program pembangunan kepimpinan yang berstruktur. Dengan cogan kata Membentuk Minda,Membina Pemimpin,AKEPT berusaha mereka bentuk dan menyediakan inisiatif kepimpinan untuk pemimpin institusi pengajian tinggi.

Sementara itu,Zambry mencadangkan pembangunan biasiswa dan inisiatif penyelidikan khusus untuk D-8 bagi menggalakkan kerjasama antara negara anggota.

“Kita juga boleh mewujudkan inisiatif penyelidikan bersama yang menggabungkan sumber,kepakaran,dan data,” katanya.

D-8 ditubuhkan di Istanbul,Turkiye,pada 15 Jun 1997,dan merupakan kumpulan negara Islam membangun yang ditubuhkan untuk mempromosikan pembangunan ekonomi. Anggotanya terdiri daripada Bangladesh,Indonesia,Iran,Malaysia,Nigeria,Pakistan,dan Turkiye.

Tema sidang kemuncak tahun ini adalah Melabur dalam Belia dan Menyokong PKS: Membentuk Ekonomi Masa Depan.

Zambry berkata Malaysia menyokong dokumen hasil Sidang Kemuncak D-8 ke-11,Deklarasi Kaherah.

Beliau berkata deklarasi itu menjadi bukti komitmen berterusan untuk memperkasa belia sebagai pemimpin masa depan dan pemangkin kepada kemampanan ekonomi belia.

“Belia kita adalah arkitek masa depan. Dengan kreativiti,tenaga,dan potensi mereka yang tiada had,mereka memegang kunci untuk menyelesaikan cabaran paling mendesak kita.

Bagi membuka potensi mereka,kita mesti menyediakan sistem pendidikan yang bersedia untuk masa depan,merangkumi kemahiran dalam bidang STEM (sains,teknologi,kejuruteraan dan matematik),kecelikan digital,industri kreatif,dan keusahawanan. Selaras dengan tema sidang kemuncak ini,institusi pengajian tinggi memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang dan memperkasa belia kita,” katanya.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta 2009-2020 Berita Perisikan Teknologi Malaysia      Hubungi kami   SiteMap