Rumah Agensi untuk bergabung Produk Teknologi tenaga baru ESports Berita global AI pintar Hiburan Kehidupan Perniagaan Fesyen Hotel Sukan Ibu bapa-anak Kesihatan Anak Kewangan Makanan Hartanah

Imbasan 2024: Kejayaan Kerajaan Madani

2024-12-20 HaiPress

Foto RTM

ULASAN BERITA

Tidak sampai beberapa minggu lagi,Kerajaan Madani akal melangkah ke fasa seterusnya dalam menerajui negara. Pelbagai suka duka dihadapi kabinet yang dibentuk Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Banyak kejayaan dicapai,walaupun terdapat suara-suara sumbang menebarkan kritikan,terutama,gaya perdana menteri mengemudi negara. Antara perkara penting yang berjaya dilakukan Datuk Seri Anwar adalah memastikan kestabilan politik... yang berkecamuk sebelum itu.

Dasar yang jelas dan komitmen penjawat awam juga sebahagian resipi kejayaan Kerajaan Madani membentuk sebuah pentadbiran yang lebih stabil dalam tempoh dua tahun ini.

Pastinya,usaha yang dilakukan kerajaan ketika ini bukan semata-mata demi kelangsungan ahli-ahli politik yang diberi mandat oleh rakyat,sebaliknya,bagi memastikan negara dan rakyat khususnya,kembali tenang. Keadaan tersebut membolehkan kerajaan yang memerintah memberi fokus kepada pengembangan ekonomi,yang sebelum ini tergendala dengan pelbagai cabaran.

Bermula daripada gelombang pandemik COVID-19 dan ketidakstabilan politik dalam negara,yang memperlihatkan pertukaran perdana menteri dalam jangka masa yang singkat,akhirnya,Malaysia dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong ketika itu,berjaya keluar daripada situasi genting tersebut.

Kini,sampai masanya untuk semua pihak memandang ke hadapan. Bak kata orang sekarang - 'MOVE ON'. Datuk Seri Anwar tidak lagi mahu menoleh ke belakang,segala yang dirancang sebelum ini perlu segera direalisasikan; kerana... tahun hadapan Kuala Lumpur akan menggalas tanggungjawab lebib berat sebagai peneraju Asean.

Fokusnya,meneruskan agenda memantapkan pembangunan ekonomi,bukan sahaja Kuala Lumpur,malah untuk semua negara anggota. Berdasarkan pencapaian sebelum ini,dijangka Kerajaan Madani mampu membawa ekonomi negara ke tingkat seterusnya.

Kesungguhan perdana menteri menarik pelabur-pelabur asing untuk memilih Malaysia,perlu diberi pujian. Barisan menteri ketika ini juga perlu diberi kredit. Mereka penyumbang utama; negara kini kembali berada di landasan terbaik.

Selain ekonomi,nasib rakyat,terutama golongan B40 dan ke bawah terus mendapat perhatian kerajaan. Untuk itu,pelbagai bantuan telah disediakan dan disalur bagi membantu meringankan beban kos sara hidup.

Benar... ada sesetengah subsidi terpaksa diselaraskan semula. Ia bukan untuk menyusahkan rakyat,sebaliknya bagi memastikan bantuan dan subsidi yang disediakan kerajaan benar-benar sampai ke tangan mereka yang memerlukan. Sebelum ini,ia tiris di sana-sini… selain,hanya menguntungkan pihak yang tidak sepatutnya menerima bantuan tersebut.

Ketika ini,kerajaan masih bergelut dengan golongan yang sengaja menyelewengkan barangan kawalan bersubsidi demi kepentingan dan keuntungan masing-masing. Mereka inilah yang merencatkan usaha kerajaan membantu golongan yang memerlukan.

Syukur,menerusi tindakan tegas yang dimulai kerajaan hari ini,ketirisan subsidi dapat dikurangkan secara drastik,biarpun belum dapat diatasi sepenuhnya. Antara kejayaan lain yang boleh diperhatikan dengan lebih mudah adalah,harga barangan keperluan harian yang kian stabil.

Biarpun negara berdepan dengan pelbagai krisis bekalan makanan,terutama yang diimport,namun ia dapat diatasi dengan cermat. Bahkan,kadar harga barangan juga kekal stabil pada musim perayaan,mahupun ketika negara dilanda bencana.

Setelah kejayaan demi kejayaan berjaya dikecapi,tumpuan kini adalah memastikan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) berjalan lancar. Mampukah kerajaan hari ini merealisasikan segala dasar yang dirancang?

RMK-13 dihasilkan untuk memastikan dasar yang dirancang bukan hanya relevan,malah dapat memperkasakan pembangunan ekonomi,serta,meningkatkan peluang pekerjaan dan mempercepatkan inovasi.

Apa yang pasti,tahun hadapan negara akan berhadapan dengan situasi yang lebih mencabar. Lihat sahaja keadaan global ketika ini - konflik di Asia Barat yang semakin buruk dan meluas,perang tarif antara negara-negara kuasa besar dunia tidak dapat diramal,ia sedikit sebanyak memberi impak kepada rantaian bekalan barangan global dan tempiasnya akan dirasai Malaysia.

Susulan itu,pelbagai persiapan sedang dan akan terus dilaksana bagi mendepaninya. Negara perlu kepada pelan jalan keluar yang bersifat pelbagai,sekiranya berlaku perkara-perkara di luar jangka.

Antaranya,memperkasa kerangka Ekonomi Madani yang sedang berjalan ketika ini. Ia terbukti mempamerkan prospek yang cerah,dengan pelbagai inisiatif bagi tujuan meningkatkan ekonomi Malaysia.

Usaha itu termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12. Inisiatif tersebut menyediakan dasar dan strategi yang perlu,menawarkan hala tuju ekonomi yang lebih jelas dan kepastian dasar yang lebih mantap di bawah kerajaan hari ini.

Pastinya,tumpuan utama adalah untuk menstruktur semula ekonomi negara,agar Malaysia dapat menggapai status peneraju ekonomi Asia seperti dicita-citakan.


Ulasan berita ini disediakan oleh Ashriq Fahmy Ahmad,editor Berita Radio RTM.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta 2009-2020 Berita Perisikan Teknologi Malaysia      Hubungi kami   SiteMap