Rumah Agensi untuk bergabung Produk Teknologi tenaga baru ESports Berita global AI pintar Hiburan Kehidupan Perniagaan Fesyen Hotel Sukan Ibu bapa-anak Kesihatan Anak Kewangan Makanan Hartanah

Tok Mat Hasan dijadual sampaikan kenyataan negara di UNGA ke-79

2024-09-21 berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto BERNAMA

NEW YORK,21 September - Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dijadual menyampaikan Kenyataan Negara pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79,mengesahkan komitmen Malaysia terhadap multilateralisme,keamanan dan kerjasama antarabangsa di tengah-tengah cabaran global.

Mohamad,yang menghadiri UNGA buat kali pertama sejak memegang jawatan pada Disember 2023 dijangka menyampaikan kenyataan itu semasa Perbahasan Umum Peringkat Tinggi pada 28 September,kata Wakil Tetap Malaysia ke PBB,Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad.

Kenyataan itu disampaikan pada saat kritikal,ketika dunia berdepan dengan perubahan iklim,ketegangan geopolitik dan ekonomi yang tidak seimbang.

"Bertemakan 'Leaving no one behind; Acting together for peace,sustainable development,and human dignity for present and future generations' selari dengan komitmen Malaysia terhadap aturan antarabangsa berasaskan peraturan dan hak negara-negara kecil dalam kerangka PBB," kata Ahmad Faisal.

Bercakap kepada media Malaysia di Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB pada Jumaat,Ahmad Faisal menekankan kepentingan penyertaan Malaysia dalam UNGA tahun ini,terutamanya ketika sistem multilateral menghadapi kritikan kerana dianggap tidak berupaya menangani isu-isu global seperti isu Palestin,Myanmar dan perubahan iklim.

"Kenyataan Negara itu dijangka menegaskan pendirian Malaysia mengenai perkara ini yang mengutamakan keterangkuman,perpaduan dan kerjasama serantau," katanya.

Menteri Luar itu juga akan mengambil bahagian dalam beberapa mesyuarat peringkat tinggi termasuk Sidang Kemuncak Masa Depan pada 22-23 September,di mana beliau akan mengemukakan pendirian Malaysia mengenai pelbagai isu global.

Ahmad Faisal berkata,Malaysia dijangka memainkan peranan penting dalam perbincangan mengenai menggerakkan usaha bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030.

Agenda Mohamad turut merangkumi penyertaan dalam mesyuarat ASEAN-Pacific Alliance dan ASEAN-Organisation for Economic Cooperation (ECO),dan kepimpinan Malaysia dalam ASEAN,khususnya persediaan selaku pengerusi ASEAN pada 2025 dijangka mendapat perhatian.

Topik utama seperti peningkatan paras laut,perlucutan senjata nuklear dan rintangan antimikrob (AMR) akan menjadi tumpuan utama bagi penglibatan Malaysia sepanjang Minggu Peringkat Tinggi,dengan Mohamad menyokong tindakan global yang lebih kukuh terhadap isu-isu kritikal ini dari 25 hingga 26 September.

Jadual padat beliau termasuk pertemuan dua hala dengan Setiausaha Agung PBB,Antonio Guterres,Ketua Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) Philippe Lazzarini serta pemimpin-pemimpin dunia lain.

Satu sorotan penting yang bakal disaksikan adalah pengiktirafan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Andorra,yang dijadualkan berlangsung pada 25 Sept di Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB.

"Kita belum mempunyai hubungan diplomatik dengan Andorra sehingga kini,tetapi mereka adalah negara yang mesra dan sudah tiba masanya kita merasmikan hubungan ini," kata Ahmad Faisal apabila diminta mengulas mengenai perkara itu.

Sesi ke-79 UNGA akan menampilkan tiga acara utama iaitu Sidang Kemuncak Masa Depan (22-23 September),Perbahasan Umum (24-28,30 September) dan Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai Peningkatan Paras Laut (25 September).- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta 2009-2020 Berita Perisikan Teknologi Malaysia      Hubungi kami   SiteMap