Rumah Agensi untuk bergabung Produk Teknologi tenaga baru ESports Berita global AI pintar Hiburan Kehidupan Perniagaan Fesyen Hotel Sukan Ibu bapa-anak Kesihatan Anak Kewangan Makanan Hartanah

MOTAC pandang serius, ingatkan orang ramai waspada tawaran tender iklan mencurigakan

2024-09-07 berita.rtm.gov.my HaiPress

Bangunan MOTAC di Putrajaya

PUTRAJAYA,7 September- Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan sebarang status tawaran tender iklan atau sebut harga berkaitan dengan Kementerian Pelancongan,Seni dan Budaya (MOTAC) yang mencurigakan,kerana ia berkemungkinan tawaran palsu.

MOTAC merujuk kepada aduan dan pertanyaan daripada syarikat pembekal di mana terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak dikenali telah mengeluarkan surat pesanan kerajaan palsu kepada pihak ketiga bagi perkhidmatan membekal dan menghantar makanan dan minuman ke pejabat MOTAC Sabah.

Kementerian itu menerusi satu kenyataan mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dan sentiasa berwaspada dengan sebarang panggilan atau SMS palsu yang diterima daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

"MOTAC memandang serius aduan ini dan mengesahkan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan tanpa mengikut prosedur dan tatacara pengurusan kewangan yang telah ditetapkan di peringkat Ibu Pejabat mahupun negeri.

"Orang ramai dinasihatkan untuk merujuk terlebih dahulu sebarang status tawaran tender iklan atau sebut harga yang mencurigakan dengan Ibu Pejabat MOTAC atau Pejabat MOTAC Negeri yang berhampiran sebelum mengambil tindakan yang akan melibatkan transaksi kewangan,"menurut kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan MOTAC,orang ramai digesa agar tidak sewenang-wenangnya mempercayai mana-mana individu yang tidak dikenali dan mendedahkan maklumat peribadi.

"Sekiranya timbul sebarang keraguan,sila laporkan perkara ini dengan segera kepada pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk perhatian dan tindakan lanjut.

"MOTAC bersedia memberikan kerjasama kepada semua pihak untuk mengesahkan kesahihan sesuatu perkara bagi memastikan perkara sebegini dapat dielakkan,"menurut kenyataan tersebut.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta 2009-2020 Berita Perisikan Teknologi Malaysia      Hubungi kami   SiteMap