Rumah Agensi untuk bergabung Produk Teknologi tenaga baru ESports Berita global AI pintar Hiburan Kehidupan Perniagaan Fesyen Hotel Sukan Ibu bapa-anak Kesihatan Anak Kewangan Makanan Hartanah

Amalan tatakelola baik penjawat awam mampu tingkat mutu perkhidmatan - Cuepacs

2024-08-14 berita.rtm.gov.my HaiPress

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Dr Adnan Mat

KUALA LUMPUR,13 Ogos - Amalan tatakelola yang baik dalam kalangan penjawat awam mampu meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam terutamanya dalam memastikan ia dapat beroperasi secara adil,telus serta bertanggungjawab kepada rakyat.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Dr Adnan Mat berkata usaha berterusan dalam meningkatkan tatakelola itu juga mampu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan institusi awam.

Menyambut baik saranan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar supaya penjawat awak menggalas tanggungjawab dengan menitikberatkan konsep tatakelola yang baik,Adnan berkata ia penting bagi memastikan perkhidmatan awam dihormati oleh semua pihak,sekali gus memberikan kestabilan sosial dan ekonomi buat negara.

"Kepercayaan daripada rakyat dan pelabur luar akan datang dengan sendirinya sekiranya kita mengamalkan tatakelola yang baik dalam perkhidmatan awam. Semua pihak sedar bahawa salah laku sering kali menghambat keberkesanan dalam perkhidmatan awam sekali gus menjadikan penggunaan sumber tidak efektif dan keputusan tidak adil," katanya pada sidang media di sini.

Adnan berkata dengan mengurangkan amalan yang tidak baik dan meningkatkan tatakelola,perkhidmatan awam dapat berfungsi dengan lebih cekap dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.

"Negara yang mempunyai perkhidmatan awam yang baik dari segi tatakelola juga cenderung menarik lebih banyak pelaburan dalam jangka panjang,baik dari dalam mahupun luar negara. Sudah tentu apa yang ditekankan oleh KSN disambut baik oleh Cuepacs terutama mengenai pemerkasaan tatakelola dalam kalangan penjawat awam.

"(Justeru) Cuepacs menyeru supaya semua penjawat awam bersama-sama dengan KSN dalam usaha meningkatkan tatakelola dalam perkhidmatan awam," katanya.

Mengenai pengumuman penting berhubung Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijangka dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat ini,Adnan berkata pihaknya berharap agar satu pencerahan terperinci dapat dibentangkan pada hari itu.

“Setelah 12 tahun kita menanti,maka 16 Ogos ini apa yang kita harap ialah perincian oleh Perdana Menteri dalam pengumuman nanti. Pada hari itu,harapan kami supaya ada bentuk pencerahan (terperinci mengenai) kumpulan-kumpulan yang akan mendapat kenaikan gaji (serta peratusan kenaikannya).

“Apabila Perdana Menteri begitu prihatin kepada kebajikan penjawat awam,sudah tentu produktiviti perlu dipertingkatkan seiring dengan kenaikan gaji. Cuepacs telah menekankan kepada ahli kami dan seluruh penjawat awam untuk terus kekal memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya.

Terdahulu,beliau menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Aedy Fadly Ramli.

Adnan berkata pada pertemuan berkenaan,kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan mengenai keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta 2009-2020 Berita Perisikan Teknologi Malaysia      Hubungi kami   SiteMap